Tuesday, September 22, 2009

Kalam Hikmah 1



'Sinar Cahaya'

KALAM HIKMAH 1

“sebahagian tanda bahawa seseorang itu terlalu berpegang kepada kekuatan amal usahanya ialah adanya sikap kurang berharap kepada ALlah SWT ketika terjadi kesalahan-kesalahan atau dosa pada dirinya”

Iblis merupakan contoh agung, makhluk yang sangat taat tetapi akhirnya kecundang setelah ego dengan kekuatan amal usahanya. Azazil menderhakai Allah SWT kerana dia sombong dan ego terhadap kejadian manusia sebagai khalifah di bumi. Sifat kejadian dirinya dan kekuatan amal usaha mengelabui mata Iblis.

Kita sebagai manusia yang kerdil dan lemah senantiasa mempunyai sifat berpegang kepada kekuatan amal usaha. Kita merasakan diri sudah cukup ‘suci’ kerana kita banyak bertahajud, bersedeqah, mengajar manusia yang lain dan memimpin jemaah Islam. Jangan sesekali kita mabuk akan kekuatan amal sehingga kita meremehkan aktiviti ibadah dan muamalat tertentu. Jangan berasa cukup dengan ibadah kita.

Ingat ibadah itu ujian bagi kita..

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". (Surah an Naml:40)

Monday, September 21, 2009

Kembara Sufi Sub Sahara: Shaykh Uways dan Aliran Sufi Pop (Episod 6)


Oleh: Kaki Bangku

Jika Episod 5 mengisahkan pengaruh ulama dari Hadramaut sebagai golongan elit dalam sektor perniagaan, pentadbiran dan pendidikan di timur Afrika, kali ini saya ingin menyentuh pula gerakan sufi di kalangan orang awam, khususnya kepada kehidupan Shaykh Uways bin Muhammad al-Baraawe (1847 - 1909).

Terletak di Biolay (Biyooley), Somalia, maqam Shaykh Uways dilewati saban tahun oleh pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh pelusuk Afrika Timur, terutamanya Somalia, Tanzania, timur Congo dan Zanzibar. Demikianlah luasnya pengaruh Shaykh Uways dalam menghidupkan kembali roh Islam di kalangan khalayak awam.

Dilahirkan seorang yang berbangsa Black Tunni (kulit gelap) semestinya menjadi suatu kelebihan buat Shaykh Uways membawa penganut-penganut animisme di Afrika kepada Islam. Shaykh Uways juga mengarang pelbagai sajak sebagai medium dakwah. Dikatakan, keindahan sajak dan sessi dhikr beliau mengalahkan keseronokan tarian dan lagu-lagu animist hingga para penari ini memeluk Islam.

Pendekatan ini sedikit berbeza dengan para ulama Hadramaut di timur Afrika yang lebih berperanan di kalangan orang elit. Juga, para Sharif Hadramaut secara umumnya bersikap eksklusif dengan mengutamakan keturunan merekadalam interaksi sosial, pendidikan dan ekonomi.

Aliran tasawwuf Shaykh Uways ialah tariqat Qadiriyya. Pada waktu itu, wujud juga Shadhiliyya dan Salihiyya yang saling merebut pengaruh. Shaykh Uways mendapat tentangan hebat dari jemaah Salihiyya pimpinan Sayyid Muhammad Abdullah Hassan, iaitu salah satu cabang dari ajaran tasawwuf neo-sufi Shaykh Ahmad ibn Idris al-Fasi (Ahmadiyya/Idrissiyya) yang pernah popular di Negeri Sembilan suatu ketika dahulu.

Salihiyya ini bersifat radikal mirip kepada idea-idea Wahhabiyya di Hejaz kerana menyerang amalan-amalan sufi Qadiriyya. Mereka juga membangkitkan semangat nasionalisme Somalia sebagaimana gerakan Wahhabiyya meniup semangat pan-Arab. Persamaan Salihiyya dengan Wahhabiyya bertambah jelas apabila pengikut Salihiyya bertindak agresif; kemuncaknya Shaykh Uways sendiri dibunuh dengan begitu tragis oleh ahli-ahli kumpulan Salihiyya pada 1909.

Salihiyya dari utara Somalia ini terkenal sebagai hero nasionalisme Somalia kerana mengusir penjajahan British. Sementara itu, pengikut-pengikut Shaykh Uways pula beralih fokus kepada Tanganyika dan menggantikan peranan Pemberontakan Maji Maji menentang penjajahan German. Usaha ini dikatakan bersabit dengan semangat pan-Islam dari kerajaan Turki Uthmaniah.

Namun, kemerdekaan negara Islam Somalia kini diancam oleh Ethiopia dan sokongan Barat. Amat malang bagi Mogadishu menjadi medan pertempuran kuasa antara UIC dan Ethiopia. Semoga umat Islam Somalia bersatu menentang kerakusan kuasa pihak kuffar di samping memperbetulkan idea-idea yang radikal kepada tradisi mainstream Sunni.

Sumber rujukan:

1. Ahmed, Choi, 1993. God, Anti-Colonialism and Dance: Sheekh Uways and the Uwaysiyya

2. Martin, Bradford G., 1993. Shaykh Uways bin Muhammad al-Barawi, a Traditional Somali Sufi

3. Reese, Scott S., 1999. Urban Woes and Pious Remedies: Sufism in Nineteenth-Century Benaadir (Somalia)

4. Samatar, Said S., 1992. Sheikh Uways Muhammad of Baraawe, 1847-1909. Mystic and Reformer in East Africa

5. Diskusi bersama Dr. Awadh Binhazim, 5 Januari 2007.


Kembara Sufi Sub Sahara: Pengaruh Ulama Hadramaut di Afrika Timur (Episod 5)


Oleh: Kaki Bangku

Episod 2-4 sebelum ini menceritakan tentang gerakan tajdid sufi Tijaniyya dan Qadiriyya di sebelah barat sub Sahara. Masih banyak kembara sufi yang boleh diceritakan di kawasan ini, tapi sebelum kita mendalaminya eloklah saya beralih sebentar ke kawasan timur Afrika, terutamanya di negara Somalia, Tanzania, Kenya, Zanzibar dan Kepulauan Comoros.

Aliran pemikiran fiqh dan tasawwuf Islam kawasan tersebut banyak dipengaruhi oleh saudagar dan sayyid Sunni Shafii Ba Alawi dari Hadramaut. Golongan ini amat terkenal sebagai pembawa risalah Islam di kota-kota pesisiran Lautan Hindi, termasuk Kepulauan Melayu sendiri. Saya berpendapat bahawa penguasaan mereka dalam bidang agama mahupun pelayaran dan perniagaan wajar diteladani pemuda-pemuda yang menyimpan hasrat menjadi “Protaz” atau “Uspro”. Rami dari kalangan keturunan dari Hadramaut yang memang terlatih dalam ilmu Islam ini dilantik menjadi qadi. Malah, merekalah yang mengepalai pelaksanaan undang-undang Shariah di bawah Kesultanan Zanzibar. Antara yang tersohor di pulau Zanzibar dan tanah semenanjung Afrika ialah Shaykh Ahmad ibn Sumayt (qadi Zanzibar) dan Shaykh Abdullah BaKathir (pengasas Madrasat BaKathir). Madrasah-madrasah pimpinan ulama Hadramaut ini menyediakan alternatif terbaik kepada sistem pendidikan sekular penjajah British pada zaman tersebut.

Aliran tasawwuf yang disampaikan oleh ulama-ulama ini dikenali sebagai Alawiyya. Ibn Sumayt menggariskan aliran pemikiran ini dalam kitabnya Tuhfat al-Labib. Beliau menukilkan isnadnya melalui, yang pertama, al-Faqih al-Muqaddam Muhammad b. Ali (d. 1255). Isnad kedua pula melalui Shu’ayb Abu Madyan yang juga mempengaruhi aliran Shadhiliyya. Barangkali atas sebab inilah aliran Shadhiliyya dan Alawiyya memiliki banyak persamaan.

Dari segi nasab pula, dua kumpulan terawal di Afrika Timur ialah nasab al-Jamalullail dan Al Shaykh Abi Bakr bin Salim yang berhijrah ke Lamu (Kenya), Mombasa dan Malindi antara kurun ke-16 hingga ke-18. Malangnya, saya tidak temui mana-mana huraian mengenai amalan tariqat golongan-golongan awal ini. Yang tercatat hanyalah generasi baru yang berhijrah setelah kemunculan Kesultanan Oman dan Zanzibar seperti Shaykh Ahmad ibn Sumayt sendiri.

Mereka sungguh berpengaruh walaupun bukan penduduk asal Afrika Timur. Antara faktor penguasaan mereka terhadap institusi-institusi pendidikan dan undang-undang di Afrika Timur ialah penekanan mereka terhadap pendidikan agama dan amalan-amalan bersanad dari Rasulullah s.a.w. yang diwarisi secara turun-temurun dalam ruang lingkup tradisi Sunni Shafii.

Selain itu, mereka menguasai ekonomi melalui jaringan perniagaan yang dipermudahkan dengan adanya ikatan kekeluargaan yang ketat dengan saudara-mara mereka di serata dunia. Hal ini dijayakan melalui usaha mencatat genealogi yang teliti dan dijaga rapi, sama ada nasab keluarga mahupun sanad ilmu.

Dalam mengadapi fitah Wahhabiyya di tanah Arab, ulama Hadramaut di Afrika Timur mengambil pendirian Shaykh Ahmad Zayni Dahlan dan Shaykh Muhammad b. Said Babsayl (guru kepada Ibn Sumayt). Mereka menolak amalan tradisi Waungwana yang mempunyai unsur-unsur khurafat namun sahutan reformis mereka masih kekal dalam ruang lingkup tradisi sufi Alawiyya.

Pendirian ini tidak berbeza dengan gerakan-gerakan tajdid sufi lain yang sudah lama berusaha menjauhkan masyarakat daripada fahaman khurafat sebelum kemunculan Wahhabiyya lagi. Bila mana gerakan Wahhabiyya ini cuba menjatuhkan empayar Uthmaniah, Ibn Sumayt dalam khutbah jumaatnya di Zanzibar pula mendoakan kesejahteraan Sultan Uthmaniah.

Tuntasnya, amalan Islam di Afrika Timur dipimpin oleh ulama sufi Alawiyya dari Hadramaut seperti juga yang terjadi di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Situasi di Afrika Timur sedikit berbeza dengan sebelah barat kerana Islam sudah lama bertapak di sini. Kehadiran ulama Alawiyya memperkukuhkan lagi pegangan Sunni Shafii dan aplikasinya dalam undang-undang negara dan sistem pendidikan madrasah.

Sumber rujukan:

1. Nimtz, August H (1980). Islam and Politics in East Africa. The Sufi Order in Tanzania
2. Bang, Anne K (2003). Sufis and Scholars of the Sea. Family Networks in East Africa, 1860-1925.
3. Ho, Engseng (2006). The Graves of Tarim.


Kembara Sufi Sub Sahara: Tijaniyya (Episod 4)


Oleh: Kaki Bangku

Diasaskan oleh Shaykh Ahmad al-Tijani, Tijaniyya adalah antara aliran tariqat paling popular di dunia pada masa ini. Malah, di Chicago in juga wujud komuniti Tijaniyya yang signifikan. Dari segi doktrinnya, Tijaniyya dikaitkan dengan gerakan “neosufi” yang lain pada awal perkembangannya seperti aliran Sanusiyya, Khalwatiyya dan Idrisiyya kerana penggunaan konsep Tariqat Muhammadiyya.

Shaykh Ahmad al-Tijani, sepertimana gerakan neosufi yang lain, terkenal dengan ungkapan “Jika kamu mendapati sesuatu disabitkan kepadaku, pertimbangkanlah ia pada penilaian Shari’ah; jika didapati seimbang, ambillah, dan jika tidak, tolaklah”. Maka dari aspek ini, pengikut Tijaniyya tidak membedakan mereka dengan komuniti Muslim yang tidak mengikuti tariqat Tijaniyya selagi mana mereka semua patuh terhadap ajaran al-Qur’an dan mencontohi Junjungan s.a.w.

Dilahirkan di Ain Madi di Algeria pada 1737, Shaykh al-Tijani mengembara ke timur untuk menuntut ilmu bersama ulama-ulama tradisional Shadhili dan juga ahli-ahli Sufi Khalwatiyya di Mesir. Setelah itu, beliau menetap di Maghribi dan memainkan peranan utama dalam agenda reformasi Mawlay Sulayman, iaitu Sultan Maghribi.

Usahasama Mawlay Sulayman dan Shaykh al-Tijani dikatakan oleh sarjana-sarjana awal Barat sebagai mirip kepada gerakan pembersihan Wahhabiyya. Namun, penilitian sarjana-sarjana terkemudian seperti saudara Zakarya Wright (pelajar Ph. D Northwestern University) pula menafikan dakwaan tersebut kerana Mawlay Sulayman sendiri menerima bai’ah dalam beberapa tariqat (termasuk Tijaniyya) dan penduduk wilayahnya berpegang kepada mazhab Maliki.

Memandangkan saya tidak pernah berguru dalam ilmu tasawwuf, izinkan saya ketepikan aspek-aspek doktrin tasawwuf Tijaniyya. Penulisan saya, sepertimana episod-episod lepas, hanya menumpukan aspek socio-politiknya. Yang paling ketara dari segi sosio-politik gerakan Tijaniyya selepas Shaykh Ahmad al-Tijani ialah al-Hajj Umar Tall.

Berasal dari Mali dan berketurunan yang sama dengan Shaykh Usman Dan Fodio yang saya ceritakan dalam Episod 3, al-Hajj Umar mengepalai usaha penubuhan negara Islam di Senegambia dan Mali Barat. Malangnya, beliau syahid dalam peperangan pada 1864 dan negara Islamnya jatuh ke tangan Perancis setelah 21 tahun ditubuhkan.

Seorang lagi tokoh besar Tijaniyya ialah Shaykh Ibrahim Niasse dari Senegal yang lahir pada 1900. Organisasinya, Jamaat al-Fayda, merupakan organisasi Muslim terbesar di Afrika Barat. Beliau pernah dianugerakan darjat Shaykh al-Islam oleh al-Azhar di Kaherah dan menjadi black African pertama untuk mengimamkan solat Jumaat di masjid al-Azhar. Ulama terbesar masa kini yang mewarisi legasi beliau ialah Shaykh Hassan Cisse.

Para ulama di negara-negara Afrika Barat pada masa ini ramai tergolong dalam tariqat Tijaniyya, terutamanya di Senegal di mana mereka terlibat dengan aktif dalam politik negara. Malah, salah seorang professor falsafah di universiti saya juga adalah anggota tariqat Tijaniyya. Saya juga yakin, jika pembaca bertemu dengan seorang Muslim dari Senegal, kemungkinan besar dia mengikuti tariqat Tijaniyya.

Sumber rujukan:

1. Wright, Zachary (2005). On the Path of the Prophet: Shaykh Ahmad Tijani and the Tariqa Muhammadiyya.
2. Hunwick, John (1992). An Introduction to the Tijani path.


Kembara Sufi Sub Sahara: Jihad Usman Dan Fodio (Episod 3)


Oleh: Kaki Bangku

Dalam Siri Kembara Sufi Sub Sahara (Episod 2), saya menceritakan bagaimana Sidi al-Mukhtar al-Kunti menyatupadukan penduduk-penduduk sekitar Timbuktu dan mempopularkan tariqat Qadiriyya. Pada masa yang sama, Muhammad ibn Abdul Wahhab sedang giat mengkucar-kacirkan umat Islam di tanah Hejaz.

Ketika inilah lahirnya seorang lagi tokoh reformis Qadiriyya bernama Shaykh Usman Dan Fodio di wilayah Hausa, Nigeria pada tahun 1754. Beliau adalah seorang guru Sufi dan intelekual yang memimpin penduduk Hausa dalam jihad menentang penindasan pihak pemerintah dan mendirikan Khalifah Sokoto.
Shaykh Usman Dan Fodio berasal dari suku nomad Torodbe, sebuah kumpulan yang terkenal sebagai golongan ‘ulama. Kumpulan ‘ulama ini sememangnya kurang senang dengan amalan masyarakat yang penuh unsur karut di samping penentangan terhadap pemerintahan dinasti Gobir yang mengutip cukai berlebihan.

Sesudahnya Shaykh Usman tamat mengaji dengan para ‘ulama Torodbe, beliau menuntut bersama seorang ilmuwan bernama Jibril bin ‘Umar al-Aqdasi. Guru ini memberi baiah kepada Shaykh Usman, adiknya Abdallahi dan anaknya Muhammad Bello untuk mengikuti tariqat Qadiriyya, Khalwatiyya dan Shadhiliyya.

Hubungan antara Shaykh Usman dan pihak pemerintah menjadi tegang apabila pemerintah melarang rakyat berdakwah mengislamkan golongan kafir dan berpakaian Islamik. Lantaran, beliau berhijrah ke luar wilayah taklukan Gobir. Tindakan ini dilihat oleh kerajaan Gobir sebagai suatu pemberontakan.

Permusuhan ini bertambah runcing apabila pengikut Shaykh Usman bertindak agresif menentang arahan pemerintah Gobir. Peristiwa ini mencetuskan jihad yang dipimpin oleh Shaykh Usman Dan Fodio pada 1804 selama 4 tahun. Keputusan untuk berperang ini didorong, antara lain, oleh arahan Shaykh Abdul Qadir al-Jilani dalam sebuah mimpi Shaykh Usman.

Diringkaskan, jihad beliau berjaya menumpaskan pemerintahan Gobir dan mendirikan Khalifah Sokoto. Diringkaskan lagi, Khalifah ini masih bertahan sehingga sekarang walaupun kawasan pemerintahannya dikecilkan oleh penjajah British dan diletakkan di bawah naungan kerajaan Nigeria pasca-kemerdekaan.

Sehingga kini, Sokoto kekal sebagai satu-satunya wilayah yang melaksanakan undang-undang Shari’ah di Nigeria. Namun, saya terbaca berita tiga minggu lepas akan kematian Sultan Muhammadu Maccido (gambar) dalam kemalangan kapal terbang. Penggantinya belum diputuskan.

Secara peribadi, saya berpendapat agenda reformis ini boleh dikatakan sebagai respons golongan Sufi terhadap fitnah di Hejaz yang mengatakan golongan sufi adalah sesat. Shaykh Usman telah membuktikan bahawa gerakan Sufi mampu mendirikan pemerintahan Islam sedangkan gerakan Wahhabi pula melemahkan Khalifah Uthmaniah.

Terdapat juga pihak reformis Mesir yang mengatakan golongan sufi sangat lemah kerana taklidnya kepada mazhab. Sekali lagi, respons Shaykh Usman Dan Fodio yang bermazhab Maliki ini membuktikan sebaliknya. Saya juga akan menceritakan perjuangan oleh golongan reformis Sufi di Senegal, Sudan, dan Tanzania untuk menegakkan keadilan juga tidak perlu kepada penolakan terhadap mazhab.

Sumber rujukan:

1. Martin, Bradford (1976). Muslim Brotherhoods in Nineteenth-Century Africa.
2. Temu ramah bersama Sidi Abu Muhammad
3. Silat lihat: Sub Saharan Sufis


Kembara Sufi Sub Sahara: Sidi al-Mukhtar al-Kunti (Episod 2)


Oleh: Kaki Bangku

Dalam Siri Kembara Sufi Sub Sahara (Episod 1), saya telah memberi gambaran umum suasana tajdid kurun ke-18. Seruan pemurnian dalam amalan agama dan agenda penentangan terhadap penindasan kuffar digerakkan melalui tariqat-tariqat di bawah pimpinan ahli-ahli Sufi yang karismatik seperti al-Hifni, Shaykh Mansur dan al-Sanusi.

Justeru, sekarang saya ingin pula tumpukan skop kita kepada senario di Afrika Barat, khususnya kepada kehidupan seorang mujaddid, Sidi al-Mukhtar al-Kunti.

Sidi al-Mukhtar al-Kunti lahir pada 1729 dalam keluarga nomad keturunan Kunta di kota al-Mabruk (sekitar Timbuktu). Beliau memperjuangkan ketulenan amalan agama di samping membangunkan ekonomi puak Kunta secara agresif.

Ketika berumur 13 tahun, beliau mengembara sekitar Timbuktu untuk menuntut ilmu sehingga akhirnya bertemu dengan mentor hidupnya, Sidi Ali ibn Najib (dikatakan berketurunan Abul-Hasan al-Shadhali). Dalam tempoh 4 tahun “bertapa”, al-Mukhtar dianugerahkan kepercayaan sebagai seorang guru tariqat Qadiriyya. Di sinilah karisma dan daya intelektual beliau dibentuk.

Setelah tamat pengajiannya, beliau berhijrah ke kota Walata (aku rasa kota ni terletak di Mauritania) bersama ulama’ tersohor Sidi Ahmad al-Bakkai Bu Dam. Selama setahun di sini, pelbagai kisah keramat beliau dimuatkan dalam buku ini (izinkan aku skip). Peristiwa-peristiwa sedemikian melonjakkan nama beliau sebagai seorang alim yang dihormati.

Beliau kemudiannya berkelana ke seluruh bumi Mauritania dan Sahara Barat. Dimuatkan dalam buku ini pelbagai kisah bagaimana beliau berjaya menawan hati penduduk tempatan dan meleraikan konflik antara puak-puak nomad. Pengembaraan Sidi al-Mukhtar ini berjaya menarik ramai pengikut untuk menyertai organisasi jemaah Qadiriyyah pimpinannya.

Iklim masyarakat ketika ini, menurut Sidi al-Mukhtar al-Kunti, sungguh lemah daya intelektualnya dan meluas amalan bid’ahnya. Beliau menyalahkan pihak ‘ulama al-su’ (evil scholars) atas kemelut ini. Antara ‘ulama al-su’ ini ialah orang yang pura-pura sebagai sufi yang menolak dunia, tapi sebenarnya mereka sendiri terpedaya dengan dunia. Lagi satu golongan ialah mereka yang hanya inginkan jawatan mufti dengan menunjukkan keupayaan logik akal mereka untuk memperkecilkan kesepakatan ulama’ dalam masalah agama dan persoalan mazahib.

Beliau juga menyatakan bahawa masalah ini berpunca daripada sikap para fuqaha yang hanya menumpukan perkara furuq tanpa memahami usul fiqhnya. Lalu beliau membidas sikap mereka yang mendakwa diri sebagai mujtahid sedangkan mereka tidak memenuhi kriteria-kriteria yang sepatutnya dimiliki oleh seorang mujtahid.

Pembentukan organisasi tariqat besar-besaran di bawah pimpinan beliau menjadi asas kepada jihad Usman Dan Fodio untuk membentuk Kesultanan Sokoto di Nigeria beberapa abad kemudiannya. Fenomena organisasi jemaat tariqat yang dipelopori oleh Sidi al-Mukhtar al-Kunti ini juga menjadi model gerakan Tijaniyya dan Muridiyya di Afrika Barat untuk menentang empayar Perancis pada kurun selepasnya.

Sumber rujukan:

1. Vikor, Knut. 2000. Sufi Brotherhoods in Africa.
2. Batran, Aziz. 2001. The Sufi Brotherhoods in West Africa and the Western Sahara.
3. Brenner, Louis. 1988. Concepts of tariqa in West Africa: The case of the Qadiriyya.


Kembara Sufi Sub Sahara: Kemunculan Gerakan Tajdid Sufi (Episod 1)


Oleh: Kaki BangkuKurun ke-18 menyaksikan terdapatnya pelbagai gerakan pembaharuan yang menuntut umat supaya berpegang teguh kepada Islam. Dan, yang paling awal serta yang paling radikal ialah gerakan Muhammad bin Abd Wahhab (dinamakan gerakan Wahhabi) yang bersifat anti-sufi.

Selari dengannya, terdapat juga gerakan-gerakan yang beroperasi dalam linkungan turuq Sufinya sendiri. Agenda pembaharuan gerakan ini bukanlah menghapuskan golongan Sufi, sebaliknya bertujuan untuk memperbaiki tariqat Sufi masing-masing sesuai dengan Shariah.

Orientasi Sufi reformis sebegini mempunyai perbezaan ketara dengan amalan Sufi sebelumnya yang banyak dipengaruhi oleh pemikiran Ibn ‘Arabi. Idea-idea Ibn ‘Arabi mengutamakan perspektif yang pluralistik terhadap agama dan hikmah kebatinan di sebalik amalan zahir.

Hal ini memberi kecenderungan kepada para Sufi untuk bertoleransi dengan pihak kufur dan perbezaan-perbezaan dalam amalan zahir umat Islam.

Gerakan Wahhabi ketika ini banyak mengambil idea daripada fahaman tajdid Ibn Taymiyyah sedangkan gerakan pembaharuan Sufi pula dipengaruhi pemikiran al-Ghazali.

Hal ini dapat dilihat melalui kemunculan terjemahan dan ulasan karya-karya Al-Ghazali di kalangan reformis Sufi era ini. Hasilnya, pihak reformis ini tidak mengambil pendirian untuk menolak turuq Sufi, sebaliknya cuba memperbaharuinya dalam lingkungan tradisi turuq Sufi.

Di sebelah Timur, gerakan Naqshabandiyya memainkan peranan utama dalam mempengaruhi kumpulan Kaum Muda di China (tak sama dengan Kaum Muda Tanah Melayu kurun ke-20) dan Shaykh Mansur di Chechnya untuk mempertahankan nasib umat Islam.

Sementara di Timur Tengah gerakan reformis Sufi dipelopori oleh Khalwatiyya yang menyeru kepada kefahaman dan amalan yang sesuai dengan Shariah.

Kebanyakan tokoh-tokoh Khalwatiyya ini terdiri daripada tenaga pengajar di Universiti Al-Azhar. Selain itu, terdapat juga gerakan-gerakan lain yang turut aktif dalam kegiatan islah masyarakat seperti Sammaniyya, Sanusiyya dan Idrisiyya di Afrika Utara. Demikianlah gambaran awal suasana tajdid kurun ke-18. Dalam episod seterusnya, saya akan menumpukan kepada gerakan para Sufi di Sub Sahara.

Sumber rujukan:

(1) Nehemia, Levtzion (1994). Islam in West Africa: Religion, Society and Politics to 1800.